Promo ! Klik Ler..

Saturday, January 23, 2010

Sifat-sifat Pendakwah

Dakwah Islamiah pada mulanya adalah merupakan tugas para Rasul yang kemudiannya dilaksanakan oleh Alim Ulama'. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa kebahagiaan setiap umat sedikit sebanyak bergantung pada Alim Ulama'. Apabila mereka baik, maka baiklah manusia dan apabila mereka rosak nescaya rosaklah manusia. Ini bererti tanggungjawab Alim Ulama' amatlah besar, dan tugas mereka itu amatlah berat, lebih-lebih lagi kalau mereka menjadikan dakwah (tabligh) sebagai tugas khusus mereka. Pendakwah mesti ada mempunyai sifat-sifat di antara lain seperti berikut :

1. Memahami maksud Al-Quran dan Al-Hadis.
2. Beramal dengan ilmunya.
3. Tahan marah (berlapang dada)
4. Berani, tidak takut kepada sesiapapun dalam menerangkan kebenaran. Celaan manusia tidak akan menghalangnya daripada menjalankan kewajipan.
5. Menjaga diri, tidak mahu kepada harta kepunyaan orang.
6. Berpada-pada dengan kesenangan dunia dan redha dengan harta yang halal walaupun sedikit.
7. Kuat, sihat dan fasih lidah.
8. Mengetahui perkara-perkara di bawah ini :
(a) Hal ehwal orang yang akan menerima dakwah iaitu tentang kesediaannya untuk menerima dakwah, persekitaran dan sosialnya. (b) ilmu sejarah umum.
(C) Ilmu Psikologi.
(d) Ilmu Geografi.
(e) Ilmu Akhlak
(f) Mazhab-mazhab, aqidah yang betul dan mazhab-mazhab yang salah.
(g) Bahasa orang yang menerima dakwah.
(h) Ilmu kemasyarakatan (sosiologi) yang membincangkan perkembangan masyarakat manusia dan segala yang berkaitan dengannya.
9. Amat mempercayai kepada janji-janji Allah dan mempunyai harapan penuh untuk mendapat kejayaan biar pun usaha dakwah itu memerlukan usia yang lama dan memerlukan pengorbanan yang besar.
10.Tawadu' (merendah diri) dan menjauhkan diri daripada perkara
yang aib.

11.Tidak bakhil mengajarkan apa-apa ilmu yang diketahuinya. Tidak keberatan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan faedah kepada orang lain.
12. Bersifat wakar dan tenang.
13.Tinggi hemat dan mulia diri. Tidak berpuashati dengan perkara-perkara besar yang belum sampai kepada kesempurnaannya dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara hina dan marah ketika disedari dirinya serba kekurangan pengetahuan atau bukti.
14. Sabar ketika menjalankan dakwah kerana Allah.
15. Bersikap Taqwa dan Amanah.

BERSIFAT WAKAR DAN AMANAH
Sifat wakar ada pada ;
(a) Orang yang tidak bercakap sesuatu yang sia-sia, sekiranya perlu bercakap dia akan hanya bercakap sekadar yang perlu sahaja.
(b) Orang yang menggunakan gerak-geri bagi menyatakan sesuatu maksud.
(c) Orang yang sedia mendengar segala pertanyaan dan berhati-hati ketika menjawab.
(d) Orang yang tidak gopoh dalam segala perkara.

Di samping itu sifat wakar ini juga dapat menggambarkan ciri-ciri ;

(a) Memelihara diri daripada senda-gurau yang tidak sopan.
(b) Tidak bergaul dengan orang yang suka bergurau dan menghindari majlis mereka.
(c) Menahan lidah daripada menyebut perkataan yang buruk.
(d) Tidak menunjuk-nunjuk diri tanpa sebab yang munasabah seperti duduk di jalan atau di pasar.
Sifat-sifat yang ditonjolkan begini menarik minat orang ramai kerana keperibadian dan akhlak serta kemuliaannya.

Wallahu'alam..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Friday, January 22, 2010

Khasiat Buah Kurma

Buah kurma atau dalam bahasa Arab menggelarnya tamar tergolong dalam keluarga phoenix. Sekumpulan jenis palm seperti kelapa sawit, sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. 

Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium. Selain kebiasaan, umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang lain, maksudnya: "Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan". Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi. 




hadith: Daripada Anas bin Malik R.A telah berkata: " Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji rutob(kurma basah) sebelum baginda menunaikan solat. Jika tiada rutob, maka baginda berbuka dengan beberapa biji tamar (kurma kering), jika tiada juga, maka baginda meneguk beberapa tegukan air "
Al-albaani mengatakan hadith ini hasan.


Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga. 

Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk. 

Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat galian dan yang paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf kerana kurma adalah excellant source atau sumber mujarab.  

Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit. Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksid di dalam tubuh atau memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya. 

 Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mukminuun ayat 19,


Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. kamu beroleh Dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.
 
Diriwayat oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. "Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan." Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. di bawah pohon kurma. Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam menggegar pohon kurma lantas dimakannya. Dengan izin Allah,ia memudahkan kelahiran Nabi Isa a.s. 

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Begitu juga dalam rawatan kaedah sufism, menjadikan kurma salah satu penawar penyakit. Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin.
  

Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim. Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau menggantikannya makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit. WALLAHUA'LAM.

Thursday, January 21, 2010

Bulan Safar

BULAN Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.

Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.

Antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada biasanya amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.

Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya: 
"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.''

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.


 *sekadar hiasan
Insya-Allah..

Tuesday, January 19, 2010

Cintailah kemanisan iman

Anak-anak perlu dididik cintai tiga kemanisan iman.
IBU bapa bertanggungjawab sepenuhnya menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya mencintai Allah dan Rasulnya. Sifat cinta kepada Allah dan Rasul mestilah mengatasi cinta kepada makhluk yang lain.

Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Seseorang Muslim dijamin akan mendapat kemanisan iman sekiranya ada pada dirinya tiga perkara berikut. Hendaklah Allah dan Rasulnya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, hendaklah dia tidak mencintai seseorang melainkan semata-mata kerana Allah dan hendaklah dia benci untuk menjadi kufur sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam at-Tabrani meriwayatkan daripada Ali bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Didiklah anak-anak kamu pada tiga perkara iaitu mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca al-Quran. Sebab orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya berserta nabinya dan orang yang suci.” (Hadis riwayat Ad-Dailami)

Dalam buku Ihya Ulumiddin Imam Al-Ghazali mewasiatkan supaya mengajar anak al-Quranul Karim, hadis Nabi, hikayat orang alim dan beberapa hukum agama.

Maka, apabila perasaan cinta kepada Allah dan rasul-Nya tertanam dalam jiwa anak-anak, ibu bapa mudah untuk mendidik dan menyuruh mereka mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ibu bapa perlu mendedah dan menerangkan kepada anak-anak Rukun Islam dan Iman, seterusnya menyuruh mereka menghafal dan mengamalkannya dalam kehidupan. Kedua-duanya adalah asas sebagai seorang Muslim dan mukmin sejati.

Anak-anak juga perlu diajar mengenai asas ilmu tauhid seperti sifat wajib mustahil dan harus bagi Allah dan bagi rasul-Nya; nama Allah, syurga dan neraka serta perkara yang boleh menjejaskan keimanan seseorang Muslim. Begitu juga hukum syarak. Hal ini supaya mereka biasa terlatih untuk melakukan kebajikan dan menjauhi kejahatan rohani serta jasmani.

Rukun Islam mengandungi lima perkara dan Rukun Iman pula ada enam perkara. Kedua-dua rukun ini ditegaskan oleh Rasulullah ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibrail : Maksudnya, “Wahai Muhamad! Apakah dia Rukun Islam? Rasulullah menjawab: Rukun Islam itu adalah hendaklah engkau mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan haji sekiranya mampu.”

Jibrail berkata: “Benar jawapanmu.” Jibrail berkata lagi: “Maka terangkan pula kepadaku mengenai apakah dia Rukun Iman?”

 Rasulullah menjawab: “Rukun Iman adalah hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan beriman kepada qada dan qadar Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Monday, January 18, 2010

Zina : Bunuh Rasa Malu


Buat dosa siang malam tidak kira masa. Apa sudah jadi dengan umat Islam kini?
Bersolat tetapi berzina. Ketika umat Islam berpuasa dia pula buat kerja laknat. 



Ini yang diberitahu kepada saya seorang ibu yang mengadu mengenai anaknya dan aduan seorang isteri dengan perangai suami yang bermalam dan mengaku berzina dengan “kekasih baru”.

Saya masih ingat lagi kata-kata datuk saya ketika beliau mengajar di rumahnya dengan katanya, berzina seronok sekejap tetapi derita sampai ke neraka.

Tazkirah kali ini ingin saya menulis mengenai akibat berzina yang nampaknya sudah menjadi perkara biasa dan semacam tidak ada apa-apa perasaan pada pasangan sama ada remaja, dewasa atau tua.

Percayalah, kalau Allah marah mesti ada azab sama ada azab sementara di dunia dan apa lagi di akhirat.

Akibat buruk dan bahaya zina:


1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilanga sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.

Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.

11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.

12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan.

Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya.

Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya?

Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa.

Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya.

Na'udzubillahi min dzaalik.


15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.

16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud?

Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini.

dipetik dari www.iluvislam.com


Friday, January 15, 2010

Nasihat Nabi Saw Sblm Mengeluarkan Rombongan Dakwah

Nasihat Nabi saw Sebelum Memberangkatkan Rombongan Para Sahabat
Dari Abdurrahman bin A’id ra, dia berkata, “Adalah Rasulullah saw apabila hendak mengirimkan pasukan, maka Beliau memberi nasihat, ‘Bersikap lembut dan sayanglah kepada orang-orang! Jangan menyerang mereka sebelum kalian BERDAKWAH kepada mereka, dan janganlah menghancurkan rumah-rumah mereka! Jangan biarkan satu orang penghuni rumah pun yang ada di kota-kota mahupun di desa-desa, kecuali kalian membawa mereka ke hadapanku dalam keadaan muslim (telah memeluk Islam), karana yang demikian itu lebih aku sukai daripada kalian datang padaku dengan membawa isteri-isteri dan anak-anak mereka setelah kalian membunuh suami-suami mereka!’ “. (HR. Ibnu Madah dan Ibnu Asakir dalam kitab Al Kanz jilid II halaman 294. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Syahin dan Al Baghawi seperti terdapat dalam kitab Al Ishaabah jilid III halaman 153, juga Tirmidzi dalam kitabnya jilid I halaman 195). 

Dari Buraidah ra, dia menceritakan, “Adalah Rasulullah saw apabila mengirim rombongan jihad atau pasukan tentara, maka Beliau saw memberikan nasihat kepada pemimpin mereka supaya menjaga ketakwaan dirinya kepada Allah SWT dan berlaku baik terhadap orang-orang Islam yang di bawah pimpinannya. Beliau juga berpesan kepada pemimpin rombongan, “Apabila engkau bertemu dengan musuhmu orang-orang musyrik, maka ajaklah mereka kepada salah satu dari tiga perkara, jika mereka menerima salah satu dari tiga pilihan yang engkau ajukan, maka terimalah pilihan mereka dan tahanlah serangan kepada mereka!

Pertama, ajaklah mereka untuk memeluk Islam! Jika mereka menerima, maka terimalah keIslaman mereka dan janganlah menyerang mereka.

Kedua, ajaklah mereka untuk meninggalkan kampung halaman mereka dan tinggal di perkampungan kaum muhajiriin, lalu beritahukan kepada mereka bahwa apabila mereka melakukan yang demikian, maka mereka memperoleh perlakuan dan hak yang sama dengan kewajiban kaum muhajirin; tetapi apabila mereka menolak dan lebih suka memilih untuk tinggal di tempat mereka sendiri, maka katakan pada mereka bahawa mereka akan diperlakukan seperti orang-orang Islam Badwi, dan berlakulah ke atas mereka hukum Allah seperti yang berlaku atas orang-orang mukmin umumnya, yakni mereka tidak akan mendapat bahagian dari harta rampasan perang, kecuali jika mereka ikut berjihad bersama kaum muslimin. 




 Ketiga, jika mereka tidak mau menerima tawaran yang kedua, maka perintahkan kepada mereka supaya membayar jizyah! Jika mereka bersedia membayar jizyah, maka terimalah dan janganlah engkau menyerang mereka ! Tetapi jika mereka menolak membayar jizyah, maka mintalah bantuan kepada Allah dan perangilah mereka! Apabila engkau telah mengepung mereka dalam sebuah benteng, lalu mereka memintamu untuk memberlakukan hukum Allah atas mereka, maka jangan engkau penuhi permintaan tersebut, karena sesungguhnya kalian tidak mengetahui hukum apa yang akan ditetapkan Allah atas mereka. Akan tetapi perlakukanlah pada mereka hukum kebijaksanaan kalian, kemudian putuskanlah perkara mereka setelah itu menurut kebijaksanaan yang kalian kehendaki.” (HR. Abu Daud) 

Inilah antara pesanan baginda..Moga kita mendapat manfaat dari nasihat2 ini,insya-Allah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...