Promo ! Klik Ler..

Tuesday, January 19, 2010

Cintailah kemanisan iman

Anak-anak perlu dididik cintai tiga kemanisan iman.
IBU bapa bertanggungjawab sepenuhnya menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya mencintai Allah dan Rasulnya. Sifat cinta kepada Allah dan Rasul mestilah mengatasi cinta kepada makhluk yang lain.

Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Seseorang Muslim dijamin akan mendapat kemanisan iman sekiranya ada pada dirinya tiga perkara berikut. Hendaklah Allah dan Rasulnya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, hendaklah dia tidak mencintai seseorang melainkan semata-mata kerana Allah dan hendaklah dia benci untuk menjadi kufur sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam at-Tabrani meriwayatkan daripada Ali bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Didiklah anak-anak kamu pada tiga perkara iaitu mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca al-Quran. Sebab orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya berserta nabinya dan orang yang suci.” (Hadis riwayat Ad-Dailami)

Dalam buku Ihya Ulumiddin Imam Al-Ghazali mewasiatkan supaya mengajar anak al-Quranul Karim, hadis Nabi, hikayat orang alim dan beberapa hukum agama.

Maka, apabila perasaan cinta kepada Allah dan rasul-Nya tertanam dalam jiwa anak-anak, ibu bapa mudah untuk mendidik dan menyuruh mereka mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ibu bapa perlu mendedah dan menerangkan kepada anak-anak Rukun Islam dan Iman, seterusnya menyuruh mereka menghafal dan mengamalkannya dalam kehidupan. Kedua-duanya adalah asas sebagai seorang Muslim dan mukmin sejati.

Anak-anak juga perlu diajar mengenai asas ilmu tauhid seperti sifat wajib mustahil dan harus bagi Allah dan bagi rasul-Nya; nama Allah, syurga dan neraka serta perkara yang boleh menjejaskan keimanan seseorang Muslim. Begitu juga hukum syarak. Hal ini supaya mereka biasa terlatih untuk melakukan kebajikan dan menjauhi kejahatan rohani serta jasmani.

Rukun Islam mengandungi lima perkara dan Rukun Iman pula ada enam perkara. Kedua-dua rukun ini ditegaskan oleh Rasulullah ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibrail : Maksudnya, “Wahai Muhamad! Apakah dia Rukun Islam? Rasulullah menjawab: Rukun Islam itu adalah hendaklah engkau mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan haji sekiranya mampu.”

Jibrail berkata: “Benar jawapanmu.” Jibrail berkata lagi: “Maka terangkan pula kepadaku mengenai apakah dia Rukun Iman?”

 Rasulullah menjawab: “Rukun Iman adalah hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan beriman kepada qada dan qadar Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...