Senario:
"Maaf, baki anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan.."
Kita sering saja mendengar perkataan ini daripada operator telefon apabila kita kehabisan kredit. Selalunya, kita ingin membuat panggilan, lebih-lebih lagi kepada yang tersayang, apabila mendengar perkataan ini keluar dari telefon, kita akan berasa kecewa dan terus bergegas mencari bekalan 'topup'. Kita akan memastikan bahawa kredit kita sentiasa penuh. Tetapi, pernah tidak kita aplikasikan ini kepada sesuatu yang lain?
Realiti:
Cuba kita bayangkan. Suatu hari, satu suara berkata kepada kita, "Maaf, pahala anda tidak mencukupi untuk membolehkan anda masuk ke syurga". Pernah tak kita berfikir seperti itu? Bayangkan di hari kebangkitan nanti, perkataan seperti itu diucapkan kepada kita. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu? Apakah kita masih boleh men'topup' pahala kita di saat pahala amalan kita yang terlampau sedikit ini dihitung. Bayangkan rasa kecewa yang menyelubungi diri kita, melebihi segala kekecewaan kita gagal dalam peperiksaan di dunia, kecewa dalam interview, kecewa dalam kerja, kecewa dalam percintaan dan segalanya. Kita selalu menangis apabila kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kepada diri kita. Tetapi, pernah tidak sekali kita menangis mengenangkan dosa-dosa silam kita? Pernah tidak kita mendengar kisah-kisah para alim ulama', tabi' tabii'n dahulu yang menangis mengenangkan dosa mereka yang sedikit? Sedangkan kita? Dosa kita terlalu sedikitkah berbanding mereka yang menyebabkan terlalu sukar untuk kita menitiskan air mata. Tetapi apabila kekasih kita meninggalkan kita, sampai bengkak mata kita menangis. Betapa lemahnya iman kita.
Kisah renungan:
Ingatkah kita akan kisah Syadad bin Aus? Kenal siapa Syadad bin Aus? Kata Abu Darda', " setiap umat ada orang fakih, dan antara orang fakih umat ini ialah Syadad bin Aus." Kembali kepada kisah Syadad bin Aus. Satu malam, Syadad bin Aus hendak tidur, tetapi dia tidak dapat tidur dan hatinya gelisah. Maka dia berkata, "Ya Allah, nerakaMu menyebabkan aku berjaga malam dan hilangkanlah daripadaku rasa mengantuk ini." Lalu, beliau bangkit dan solat sehingga Subuh. Kisah bagaimana seorang Fakih yang takutkan neraka sehingga tidak dapat tidur malam. Adakah sekuat itu iman kita? Sahabat-sahabat kita di Palestin berjuang menentang golongan kuffar dan kita? Hendak mengangkat mata dan selimut untuk pergi solat Subuh berjemaah pun kita tidak mampu, inikan pula hendak mengangkat senjata untuk pergi berperang.
Tahun baru:
Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang culup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perencanaan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang aakan terjadi di masa depan.
Konklusi:
Ubatilah hati kita selagi peluang bertaubat masih terbentang dan janganlah menunggu sehingga terbentangnya maksiat-maksiat kita di hari akhirat, baru kita hendak menyesal. Marilah kita sama-sama merenung dan menangisi dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Tidak rugi untuk menitiskan air mata kita kerana takutkan Allah, kerana titis-titis air mata kita dan amalan-amalan baik kita umpama 'topup' yang akan mengisi 'kredit' untuk kita pada hari perhitungan nanti. InsyaAllah.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal." (Al-Anfal, 2)
Berkata ulama', terdapat 9 perkara yang boleh meng'islah(ubah)kan hati:
1. Membaca Al-Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.
2. Mengosongkan perut dengan mengurangkan makan.
3. Bangun malam dengan beribadat.
4. Bermunajat pada waktu sahur.
5. Berdamping dengan orang Soleh.
6. Diam daripada perkara-perkara tidak bermanfaat.
7. Uzlah (mengasingkan) diri daripada orang jahil.
8. Jangan selalu bersama mereka (orang jahil).
9. Makan benda yang halal.
Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka:
1. Mata yang berhirasah (berjaga malam) di jalan Allah.
2. Mata yang menangis kerana Allah.
# Ayuh kita top-up iman,jgn hanya top-up kredit shj..Wallahu'alam#
No comments:
Post a Comment