Promo ! Klik Ler..

Tuesday, March 3, 2009

Sifat marah cermin jiwa tidak tenteram


Penulis asal: Aminudin Mansor

Kita dituntut bersabar supaya dijauhi daripada ‘rasukan’ kemarahan.


SIFAT marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya.

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Marah boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.
Sedangkan kita tahu Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah.
Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sifat bodoh atau jahil itu pokoknya ialah watak kedegilan yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa juga yang dirinya reda dalam keadaan jahil atau bodoh, maka baginya tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani toleransi adalah sifat yang baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat buruk dan mendatangkan banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri daripada melayani pertanyaan orang bodoh.”

Khaitamah bin Abdul Rahman, seorang ulama tab’in menerangkan bahawa syaitan berkata, “Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila dia rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia marah, nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya.”

Mujahid menceritakan bahawa iblis atau syaitan itu berkata, “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara:
Apabila seseorang itu mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami halau ke mana yang kami kehendaki. Dia bekerja untuk kami menurut apa yang kami sukai.
Apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang disesalinya.
Dia seorang yang lokek terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak mampu
Sementara itu, Abdullah bin Mas’ud berkata, “Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya apabila dia tidak rakus.”

Diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya, “Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat.”

Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”

Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, “Meninggalkan marah..”
Wahab bin Muhaib berkata, “Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”

Kesimpulannya, dalam apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat Islam mestilah dapat mengawal sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.

Sunday, March 1, 2009

UJIAN KEHIDUPAN

Penulis asal: Nabiha Al-Khalidiy

Salaam,

Untuk panduan kita bersama agar kuat dan tabah apabila menghadapi dugaan/ujian dari ALLAH swt. Jangan cepat putus asa atau menyalahkan takdir.....


Di dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat terlepas daripada ujian. Itulah lumrah kehidupan kita di atas alam maya ini.
Sebagai seorang hamba kita perlu terima dengan dada terbuka dan kembalikannya kepada Allah Ta'ala, kerana Dia yang berikan kita ujian dan dia juga yang akan mengangkatnya daripada kita.

FirmanNya di dalam surah :
و لنبونكم بشئ من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين
Maksudnya:...dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit rasa ketakutan,kelaparan, kekurangan hartabenda dan jiwa serta tumbuh-tumbuhan. Danberilah berta gembira kepada orang-orang yang sabar.
al-Baqarah:155

Sebelum Allah Ta'ala hendak menguji hamba-hambanya, Dia anugerahkan kepada mereka akal, kehendak dan kekuatan untuk melakukan sesuatu. Dengan tiga perkara tadilah kita semua akan diuji. Ada di kalangan kita yang diuji dengan kesenangan, kemewahan hartabenda dan ada pula yang diuji dengan kesusahan hidup, kesempitan rezeki, jalan seolah-olah menjadi sukar baginya, didatangkan musibah, bala dan kemalangan yang silih berganti. Semuanya adalah merupakan uijian daripadanya untuk dinilai kemantapan iman seseorang.Di dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas daripada menempuh ujian, samaada besar atau kecil. Bersabarlah ketika menghadapinya, kerana di sebalik ujian yang datang terdapat seribu satu macam rahmat yang kita tidak nampak. Setiap kesusahan ada kemudahan.

Firman Allah:
فإن مع العسر يسرا إن مع العسر يسرا
Maksudnya: ...maka sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan,sesungguh nya sesudahkesulitan ada kemudahan.
surah al-Syarh:5,6
Memang sudah menjadi tabiat kita manusia, inginkan kemudahan, kenikmatan sepanjang masa, kelapangan hidup. Namun begitu kita perlu ingat, tidak semua yang kita suka itu adalah baik untuk kita dan tidak pula sesuatu yang kita benci dan tidak suka adalah buruk untuk kita.

Firman Allah:
و عسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شر لكم والله يعلم وأنتم لا تعلمون
Maksudnya: ...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal dia amat baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan dia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.
surah al-Baqarah: 216

Bila kita dapat menerima ujian Allah, kita akan terasa ketenangan yang tidak terhingga di dalam diri kita, kerana kita sedar semua yang datang adalah daripada Allah Yang Maha Mengetahui. Allah tidak akan menganiaya hamba-hambanya, sebab Allah Maha Adil di dalam hukumannya. Apa yang kita perlu ingat ialah setiap musibah yang datang adalah disebabkan oleh dosa-dosa yang kita lakukan. Kepahitan hidup, kesusahan dan mala petaka adalah untuk membersih dan menaikkan darajat kita di sisiNya.Wahai saudaraku, bersabarlah ketika kita mengharungi kehidupan ini, sentiasalah ingat kepadaNya. Kerana hanya kepada Allah tempat kita mencurah rasa dan mengadu nasib. Dia akan membela kita, merahmati kita dan memberi jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi, dengan syarat kita hendaklah bertaqwa kepadanya.

Wallahu a'lam

Friday, February 27, 2009

10 kelebihan ilmu berbanding harta


1. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu adalah pusaka nabi-nabi, manakala harta adalah pusaka Qarun dan Firaun.


2.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu memelihara kamu, tetapi kamu pula yang memelihara harta.


3.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu ramai taulannya dan sebaliknya orang yang berharta ramai seterunya.


4.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu apabila dinafkahkan akan bertambah, tetapi harta pula apabila dinafkahkan akan berkurangan.


5.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu diseru dengan nama yang mulia, manakala orang yang berharta diseru dengan nama bakhil.


6.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak perlu dipelihara daripada pencuri, tetapi harta perlu dipelihara daripada pencuri.


7.Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang yang berilmu akan diberi syafaat diakhirat nanti, manakala orang yang berharta akan dihisab hartanya.


8.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu tidak akan binasa, manakala harta pula akan binasa.


9.Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu itu melembutkan hati dan harta pula mengeraskan hati.


10.Ilmu lebih baik daripada harta kerana yang berilmu mendakwa kehambaan dan yang berharta mendakwa ketuhanan.


Wallahua'lam.

Wednesday, February 25, 2009

Sifat Lemah Lembut Mendatangkan Kebaikan

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal. (Riwayat Muslim)

Huraian :

1. Lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung.

2. Melatih diri untuk dapat memiliki sifat mulia ini dapat dimulakan dengan menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.

3. Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar dan tenang (tidak tergesa-gesa) . Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan agar seseorang itu tidak mudah dipermainkan atau diperbodohkan oleh orang lain.

4. Rasullullah s.a.w adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.

Monday, February 23, 2009

Doa, sabar perisai kemanisan hadapi kesukaran

Penulis asal: Mohd Zamri Shafie

Al-Quran terkandung pelbagai hikmah supaya manusia mudah terima hidayah.


TAUFIK dan hidayah adalah anugerah Allah ke atas hamba-Nya.
Muslim wajib meyakini pintu hidayah sentiasa terbuka di sisi Allah untuk sekalian makhluk-Nya.

Hidayah Allah apabila mengetuk pintu hati seseorang, nescaya pasti menjadi lembut dan senang menerima nasihat, teguran serta bimbingan atas dasar agama.


Kisah Saidina Umar yang terkenal dengan sifat bengis sebelum memeluk Islam, bertukar watak sebagai pembela Islam yang agung selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran.

Itulah anugerah besar yang tidak dapat dihitung nilainya selepas mendapat hidayah daripada Allah.
Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh umatnya supaya mereka lembut hati tatkala membacanya, mendengar dan memahaminya. Semua itu terkandung hikmah supaya manusia mudah mendapat hidayah Allah.

Firman Allah bermaksud:
Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benarnya dan indahnya) yang berulang (keterangannya dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
Kitab suci itu hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ; dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (Surah az-Zumar, ayat 23)


Imam al-Mawardy dalam tafsirnya menyatakan orang mendengar bacaan al-Quran atau membacanya, tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah dalam tiga keadaan :
-Apabila mereka membacanya atau mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran serta memahami maksud ayat itu yang memberi gambaran janji neraka bagi mereka yang ingkar pada perintah Allah dan khabar gembira dengan janji syurga bagi mereka yang patuh pada perintah-Nya (Imam As-Suddy)
-Terpahat dalam hati perasaan khauf (takut) dan raja' (pengharapan) yang tinggi kepada Allah.
Tersemat dalam lubuk hati mereka keagungan al-Quran dan lembut hati mereka ketika membacanya.

Hari ini, umat Islam dipaparkan dengan kezaliman yang berlaku terhadap saudara mereka. Penindasan dan keganasan boleh diungkapkan dengan pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Doa umat Islam di seluruh dunia dengan iringan tangisan adalah pengorbanan kecil berbanding kesusahan yang dihadapi umat Islam di Palestin. Menangis adalah cara yang boleh melembutkan jiwa dan hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Janganlah kamu masuk (melihat) suatu kaum yang ditimpa azab, melainkan engkau menangis (melihat keadaan mereka), apabila engkau tidak mampu menangis, maka hendaklah engkau berpura-pura menangis sebagai kebimbangan (pengajaran) di atas kamu nanti akan ditimpakan musibah (azab yang sama) yang menimpa mereka. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Runtunan emosi perlu diiringi doa supaya Allah sentiasa mencampakkan kemanisan iman dan kesabaran yang terus segar dan harum menghadapi bencana dicipta musuh. Nabi SAW mengajar umatnya meletakkan kesabaran menghadapi kesulitan dan kepayahan angkara musuh.
Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam apabila mendapat bala dan seksaan daripada orang lain supaya berdoa.

Sabda Baginda yang bermaksud:
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Masud katanya, aku masih terbayang Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang nabi daripada nabi sebelum Rasulullah yang diseksa (dipukul) oleh kaumnya sehingga berlumuran darah. Dia mengesat darah di mukanya sambil membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam juga diberi peringatan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Allah akan menghapuskan dosa seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wallahualam,wassalam.

Monday, February 16, 2009

Hati cermin nilai peribadi, jati diri

Penulis asal: Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Salaam,

Marilah kita sama sama memahami article dibawah untuk kita jadikan panduan.

SIFAT MAHMUDAH: Amalan membaca al-Quran perlu disemat dalam jiwa anak agar menjadi generasi beriman.

Taraf manusia bukan diukur daripada paras rupa, kekayaan, nasab keturunan
MANUSIA adalah makhluk ciptaan Allah terbaik dan paling sempurna kejadiannya berbanding makhluk lain yang menghuni alam ini. Dalam hal ini, Allah mengiktiraf kesempurnaan penciptaan manusia berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Tin, ayat 4 bermaksud:
Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Manusia diciptakan daripada beberapa elemen utama hingga mewujudkan identitinya sebagai manusia iaitu jasad, akal, roh, nafsu dan hati. Namun, daripada semua elemen menghiasi seseorang manusia itu, ada satu unsur paling penting dalam ajaran Islam yang diambil kira daripada keseluruhan amalan keagamaan adalah intinya, bukannya kulitnya, bentuk dalamannya bukannya bentuk luarannya dan hatinya bukannya jasadnya atau lisannya.
Oleh itu, Rasulullah bersabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani).

Hati manusia juga bertindak sebagai raja bagi keseluruhan anggota tubuh badan yang lain. Dengan kata lain, baik dan buruk, sejahtera atau sengsara, sihat atau sakit dan sebagainya amat bergantung kepada kedudukan hatinya.. Sekiranya baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda bermaksud:
Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi serta jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang salih mahu pun sebagai seorang yang toleh. Malahan, hati juga dianggap agen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsinya anggota tubuh badan manusia secara keseluruhannya adalah kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika yang lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.

Yang paling menarik, dalam helaian al-Quran perkataan hati biasa disebut sebagai al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap, berubah-ubah dan berdolak-dalik. Bertepatan dengan konotasi al-qalb, maka hati begitu mudah berubah-ubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Di dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar, hak dan batil dan sebagainya.
Apabila ditinjau dalam al-Quran, ada banyak rangkaian ayat membicarakan mengenai hal hati terutama hati yang bersih lagi suci daripada sebarang karat dosa dan maksiat. Hati yang bersih lagi suci itu ialah hati yang diterangi dengan cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun perasaan keraguan dan kesyirikan dalam hatinya. Seterusnya, hati yang bersih menyakini bahawa segala apa yang wujud di alam semesta ini dicipta Allah yang Maha Berkuasa, sekali gus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas sekalian alam ini.
Hati yang bersih juga adalah hati yang terhindar daripada sebarang penyakit hati seperti dendam kesumat, dengki, fitnah dan lain-lain lagi sifat yang tercela. Hati yang bersih adalah dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati ialah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan lain-lain lagi sifat mahmudah.

Rasulullah amat menggalakkan umatnya memiliki hati yang bersih ini hingga dianggap sebagai seorang manusia terbaik. Dalam hal ini, Baginda pernah ditanya oleh seorang sahabat:
Siapakah manusia yang terbaik. Baginda menjawab: Orang mukmin yang bersih hatinya. Kemudian baginda ditanya lagi: Siapakah orang mukmin yang hatinya bersih? Lantas Nabi pun menjawab: Iaitu orang yang bertakwa, hatinya bersih, tidak melakukan kedurhakaan dan pergkhianatan terhadap Allah, tidak berdendam dan mendengki kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Perlu ditegaskan Allah akan memberikan ganjaran kepada setiap hamba-Nya yang berniat melakukan sesuatu kebajikan, tetapi Allah tidak pula mencatatkan keburukan ataupun dosa kepada seorang yang hanya berniat di hatinya untuk melakukan kejahatan dan kejahatan tidak pula dilakukannya di dalam alam realiti. Demikianlah betapa Allah bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.

Selanjutnya, Allah hanya akan menilai apa diperbuat dan dilakukannya sebagai balasan dan bekalan pada hari kemudian kelak. Sehubungan itu, orang tidak akan menilai lagi apa terpendam dalam hati seseorang, sebaliknya apa dizahirkan dan dilahirkan melalui anggota tubuh badan seseorang adalah cerminan apa yang tersemat dalam hati itulah yang akan menjadi neraca penilaian.. Oleh itu, amalan tidak beretika dan bermoral yang semakin berleluasa di dalam masyarakat kita itu adalah isyarat hati seseorang kotor, hati ketandusan nilai kerohanian yang luhur dan jauh daripada prinsip ajaran Islam yang sebenarnya.

Pernah berlaku peristiwa seperti diriwayatkan Sahl bin Sa’ad berkata: Ada seorang lelaki yang lalu melewati hadapan Rasulullah, lalu Baginda bertanya kepada sahabat yang duduk di sebelah Baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang ini? Maka sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki daripada kalangan terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak dinikahi jika dia datang melamar, diberi syafaat jika dia meminta syafaat. Rasulullah pun diam seketika. Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati hadapan Baginda. Baginda kembali bertanya: Apakah pendapatmu mengenai orang ini pula? Lantas sahabat itu pun berkata: Wahai Rasulullah! Dia ini adalah daripada kalangan orang fakir miskin. Dia ini sememangnya layak ditolak jika datang melamar, tidak layak diberi syafaat jika dia meminta dan juga tidak layak diberi perhatian jika dia berbicara. Maka Rasulullah bersabda bermaksud: Orang ini (yang kedua) jauh lebih baik daripada orang yang pertama tadi.

Jelas kisah dipaparkan itu bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukannya diukur daripada kebesaran rupa lahiriahnya, bukannya daripada kekayaannya, bukan daripada kemuliaan nasab keturunannya, bukan dari ketrampilannya yang menarik dan bukan pula daripada kemasyhuran atau ketinggian pangkatnya. Sebaliknya, neraca piawaian yang sebenarnya di sisi Allah ialah sepohon iman yang bertapak kukuh di dasar hatinya, buah amal yang dihasilkan pepohon iman dibajai dengan keikhlasan, ketakwaan dan ketundukan yang penuh tulus ke hadrat Allah.

Sama2 lah kita berusaha untuk menyucikan hati2 kita,moga segala amalan kita ditingkatkan dan diredhai,Insya-Allah.

Wassalam :)

Sunday, February 15, 2009

Nasihat Kehidupan


1. KETIKA MENCARI CALON

Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.


2. KETIKA MELAMAR

Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.


3. KETIKA AKAD NIKAH

Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,tetapi menikah di hadapan Allah

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN

Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.


5. KETIKA MALAM PERTAMA

Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.


6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA

Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.


7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG

Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan


8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK.

Cintailah isteri atau suami anda 100%


9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK.

Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda,tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.


10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM

Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.


11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG

Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita


12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI

Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.


13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI

Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.


14.KETIKA MENDIDIK ANAK

Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....


15.KETIKA ANAK BERMASALAH

Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.


16.KETIKA ADA PIL.

Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.


17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS

Gunakanlah formula 7 K

1 Ketaqwaan

2 Kasih sayang

3 Kesetiaan

4 Komunikasi dialogis

5 Keterbukaan

6 Kejujuran

7 Kesabaran


" wahai tuhan ku, aku tak layak kesyurgamu ...namun tak pula aku sanggup keNerakamu.. .......,kami lah hamba yang mengharap belas darimu ........Ya Allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa.... ..ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.''

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...