Promo ! Klik Ler..

Saturday, April 11, 2009

SRIKANDI : Ghaziyah menahan dahaga

GHAZIYAH Jabir adalah wanita yang mewarisi sifat-sifat keperwiraan keturunan Quraisy. Dia tidak takut atau gentar dengan sesiapapun. Dia juga digeruni oleh masyarakat Quraisy kerana sifat yang dimilikinya. Dia berani berkata benar walaupun di hadapan orang yang lebih kuat daripadanya.

Ghaziyah memeluk Islam apabila suaminya, Abul Akar menemui Rasulullah dan menyatakan keimanannya kepada Allah. Ghaziyah mula melaksanakan dakwah Islam kepada wanita-wanita Quraisy lain. Ramai wanita Quraisy tertarik memeluk Islam kerana keperibadian Ghaziyah yang menarik dan kepetahannya berkata-kata.

"Apa? Ghaziyah sedang menarik lebih ramai wanita Quraisy memeluk Islam. Kita mesti lakukan sesuatu supaya pengikut baru Muhammad tidak bertambah!" salah seorang pembesar Quraisy melahirkan rasa bimbang tentang dakwah yang dijalankan oleh Ghaziyah di kalangan wanita Quraisy.

"Saya cadangkan supaya kita pergi ke rumah Ghaziyah dan menghukumnya supaya orang lain tidak berani mengikut jejak langkahnya," cadang seorang lagi pembesar Quraisy yang benci dengan Islam.

"Saya setuju dengan cadangan kamu. Kita ugut dan takutkan Ghaziyah supaya dia hentikan dakwahnya di kalangan wanita kita," sokong pembesar-pembesar yang mahu usaha Ghaziyah dihentikan serta-merta.

Mereka semua sepakat dan bergegas ke rumah Ghaziyah bagi mengugut dan menakutkannya supaya dia tidak meneruskan usaha murninya itu. Walaupun pembesar-pembesar Quraisy menceroboh masuk ke rumahnya, Ghaziyah tetap menerima tetamu yang tidak diundang itu dengan senyuman.

"Kamu akan mendapat hukuman jika tidak menghentikan dakwah di kalangan wanita Quraisy dengan segera," ugut pembesar-pembesar dengan memandang wajah Ghaziyah.

"Saya tidak akan hentikan apa yang benar," Ghaziyah mempertahankan dirinya di hadapan pembesar-pembesar Quraisy yang semakin marah dengan jawapannya.

"Tangkap Ghaziyah dan ikat pada unta. Kemudian, jemur dia di tengah pancaran matahari sehingga dia mahu kembali ke agama nenek moyang kita," perintah pembesar-pembesar Quraisy kepada orang bawahannya.

"Pastikan ada orang mengawal unta itu supaya tidak ada orang lain yang datang membantu Ghaziyah," pesan pembesar-pembesar Quraisy lagi kepada orang bawahannya.

Dua orang pengawal yang ditugaskan mengawal Ghaziyah yang diikat pada seekor unta yang dijemur di tengah-tengah pancaran matahari padang pasir. Tekaknya kering, mulutnya pecah-pecah, muka dan kulit badannya terbakar digigit pancaran matahari yang terik. Pengawal Quraisy duduk di dalam khemah sambil makan dan minum tanpa mempedulikan rayuan Ghaziyah yang dibiarkan dalam kepanasan matahari tengah hari.

Ghaziyah hanya berserah kepada Allah dengan penderitaan yang sedang dialaminya. Dia yakin Allah tidak membiarkan hambanya diperlakukan dengan kejam. Mulutnya terkumat-kamit menyebut nama Allah sambil mengharungi kepanasan, kesejukan dan kehausan selama tiga hari berturut-turut.

"Ya Allah! Kasihanilah hambamu yang terseksa ini. Saya bermohon kepada-Mu supaya penderitaan saya berkurangan," Ghaziyah berdoa kepada Allah dengan sisa-sisa tenaga yang hampir kehabisan.

Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Allah mendatangkan sebaldi air kepada Ghaziyah lalu menuangkan ke atas tubuhnya. Dia dapat melihat baldi air itu tergantung di antara bumi dan langit.

Ghaziyah minum air yang dituangkan itu dengan sepuas-puasnya. Tubuhnya yang letih kini kembali bertenaga. Keyakinan kepada kuasa Allah semakin utuh dalam diri Ghaziyah.

"Bagaimana tubuh Ghaziyah itu basah?" Tanya salah seorang pengawal yang keluar dari khemah memeriksa dari mana datangnya bunyi air dituang.

"Cuba kamu periksa sama adakah ikatan Ghaziyah itu terbuka?" balas kawannya yang kelihatan tercengang menyaksikan kejadian di hadapan matanya.

"Ikatannya masih kuat dan mustahil Ghaziyah dapat mengambil air ?" kedua-dua pengawal itu berasa hairan dan terkejut.

"Dari mana kamu dapat air?" tanya salah seorang pengawal yang masih bingung memikirkan bagaimana Ghaziyah dapat mencapai bekas air walaupun masih terikat pada unta.

"Allah, Tuhan semesta alam tidak membiarkan hambanya dizalimi. Doa orang yang dizalimi segera dimakbulkan. Air itu datangnya dari Allah." Ghaziyah menjelaskan dengan tenang kepada dua orang pengawal yang mula rasa takut dengan kejadian itu.

"Sekiranya kata kamu benar, benarlah agama kamu. Agama kamu lebih baik daripada agama kami. Sesungguhnya kami bersaksi Allah tuhan kami dan Muhammad adalah rasulnya," ucap kedua-dua pengawal itu apabila cahaya iman masuk ke jiwa dan hati mereka.

Mereka membebaskan Ghaziyah daripada ikatannya. Kemudian, mereka memohon maaf kepada Ghaziyah kerana membiarkannya terseksa di padang pasir selama tiga hari.

Ghaziyah memaafkan kedua-dua pengawal itu kerana mereka terpaksa menurut perintah tuan mereka hanya bencikan agama Islam. Dengan pertolongan yang diberikan oleh Allah, Ghaziyah berjaya mengislamkan dua orang pengawal Quraisy itu.

~ Sekadar renungan : Adakah iman kita sehebat Ghaziyah? Sanggup menahan dahaga selama 3 hari berturut- turut kerana agama Islam. Moga kita dapat menjadi sepertinya, Insya-Allah ~

Friday, April 10, 2009

Sebab-sebab turunnya bala Allah

Bala Allah itu turun disebabkan oleh perkara berikut :

Apabila harta Negara beredar kepada orang-orang tertentu sahaja.

Apabila amanah dijadikan satu sumber keuntungan.

Zakat dijadikan hutang

Suami memperturut kehendak isteri.

Anak derhaka terhadap ibunya sedangkan ia berbaik terhadap kawannya.

Anak suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling terhina antara mereka.

Seseorang dimuliakan kerana ditakuti akan kejahatannya.

Arak sudah diminum di merata-rata tempat.

Kain sutera banyak dipakai kaum lelaki.

Para artis disanjung-sanjung.

Muzik banyak dimainkan.

Generasi akhir umat (hari ini) menghina (menyalahkan) genarasi pertama (sahabat).

~ Moga kita sentiasa berada di bawah lindunganNya, insya-Allah ~


Thursday, April 9, 2009

10 Laluan Yang Bakal Dilalui Oleh Manusia Dari Dunia Sampai Akhirat

BAGAIMANA MEMUDAHKANNYA? ?

LALUAN MENUJU KE KUBUR
a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan qadha' hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil)

LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula kadha' (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala

LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati

LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN
a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH

LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat

LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAQIM
a. Kasihilah aulia ALLAH Ta'ala
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH

LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD
a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulluah
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat Nabi S. a. w.

LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya

Wassalam..

Tuesday, April 7, 2009

10 Perangkap Syaitan

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya. '' ( An-Nisa': 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut..Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:

1. Melalui sifat bohong dan angkuh
Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut
Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak
Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4. Sifat khianat
Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat
Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad
Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain
Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri
Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan
Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka
Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)

Sunday, April 5, 2009

KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS

Tafsirannya:
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.
Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas, kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussamad. Lamyalid walam yu-lad. Walam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali.
Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.
Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad s..a.w: 'Barang siapa membaca Qul huwa'llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka'. Inilah yang dinamakan membaca Qulhua'llah ahad satu hatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita sehari. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya Siapakah antara Kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran... Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran. Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan..
Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s. Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, dan an-annas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikiutnya. Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nass pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.

Nota: Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW 'Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat'. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah/amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain
Wassalam.

Friday, April 3, 2009

dia setiap hari pada diri kita tapi kita tak nampak dia.................

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggapkematian itu adalah suatu tabie biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah? .

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya.

Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si pulan itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi.

Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya.

~ Sesungguhnya hati yang sentiasa hidup adalah hati yang sentiasa mengingati mati ~

Wednesday, April 1, 2009

Mohon Dihilangkan Rasa Berdebar-debar

Daripada:
"BawangGoreng®" bawangoreng@gmail.com



Hari ini saya kongsikan doa yang dititipkan dari Darussyifa. Perasaan berdebar-debar, penyakit was was, risau dan sebagainya adalah penyakit hati yang disebabkan kerana cinta kepada dunia dan jauh dari Allah SWT.

Ali bin Thalib pernah berkata: "Apabila hati seseorang telah dipenuhi dengan cinta dunia, ia akan terkena 3 penyakit:

a) Rasa risau yang tidak berkesudahan.

b) Rasa tamak yang berlebihan.

c) Harapan yang berlebihan yang tidak pernah tercapai.

"Tidak ada jalan lain untuk menghilangkan penyakit tersebut melainkan dengan memperbanyak zikrullah.Firman Allah dalam Al-Qur'an [13:28] yang bermaksud, "(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram."

Zikir kepada Allah ada 3:

a) Mengenal Allah SWT dengan sifat dan asma'-Nya

b) Menyebut dan membesarkan sifat dan asma' Allah, bertasbih, bertahmid, bertakbir, dan lain-lain dengan lisan

c) Mempelajari hukum Allah untuk mengenal perintah-Nya, sehingga dijalankan atau mengenal larangan-Nya sehingga ditinggalkan.

Zikir yang paling basic, ada seperti yang dinyatakan di bawah. Selain mengamalkan doa di atas, elok diamalkan zikir ini setiap kali habis sembahyang fardu.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis sahih Muslim)

Semoga Allah SWT memelihara kita daripada penyakit hati.

Insya-Allah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...