Promo ! Klik Ler..

Tuesday, December 29, 2009

Apa yang penting ? Kerjasama !

HADIS

Daripada Nu'man bin Basyir r.a., Rasulullah saw bersabda : "Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling mencintai, samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam. "

TAKHRIJ HADIS

Hadis ini Mutaffaq 'alaih dan diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab Adab 6011, Muslim dalam Kitab al-Bir 86, Imam Ahmad dalam Musnadnya 4/270.

PENGAJARAN HADIS

Kerjasama wujud dan berkembang dalam suasana kehidupan yang harmoni dan stabil. Kehidupan begini berpunca daripada kemesraan berkomunikasi, kemesraan kecintaan dan kasih sayang serta saling bersimpati. Kejayaan Rasulullah saw melahirkan masyarakat harmoni dan simpati dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana kerjasama dalam masyarakat kini.

Gambaran sebuah masyarakat yang bekerjasama dan saling membantu yang diasaskan oleh Rasulullah saw antaranya ialah wujudnya keadaan bersimpati antara anggota masyarakat, bak kata pepatah, "Cubit paha kiri, paha kanan terasa sakit. "

Kerjasama menjadi amat penting khususnya dalam menjayakan satu-satu misi sama ada kenegaraan atau kemasyarakatan. Dengan kerjasama, sebarang yang sukar dan susah bahkan dianggap hampir mustahil menjadi amat mudah, senang dan pantas diselesaikannya.Perhatikan peperangan Khandak atau Ahzab yang berlaku pada tahun 5 Hijrah. Antara tentera musyrikin Makkah bergabung dengan qabilah arab, jumlah kekuatannya hampir 10000 orang cuba menyerang Madinah yang jumlah tentera Islam hanya 3000 orang sahaja. Tetapi dengan strategi yang diinovasikan oleh salman al-Farisi dengan cara menggali parit, Rasulullah saw telah membahagikan jarak galian untuk beberapa orang secara kerjasama. Ianya dapat disiapkan dalam masa beberapa hari sahaja. Akhirnya umat Islam dapat menjadikan parit tersebut sebagai benteng daripada kemaraan musuh sehingga datangnya pertolongan Allah apabila diterbangkan segala khemah dan pulanglah kaum musyrikin dalam keadaan hina dan patah semangat. Inilah berkat kerjasama.

AL-QURAN

Firman Allah swt dalam surah Al-Ma'idah ayat 2 yang bermaksud : " Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

Al-Akhfash berkata : "Ia merupakan pemutus dari awal kalam iaitu perintah kepada semua makhluk utntuk melaksanakan ta'awun atas kebajikan dan taqwa serta menggalakkan sesama mereka untuk melakukannya." Ini bertepatan dengan hadis nabi saw yang bermaksud : "Yang menunjukkan ke arah kebaikan sama seperti pembuatnya."

Al-Mawardi berkata : " Allah menggalakkan pelaksanaan ta'awun dengan kebajikan dan disertakannya dengan taqwa kerana pada taqwa terdapat keredhaan Allah dan pada kebajikan terdapat keredhaan manusia. Justeru sempurnalah kebahagiaan dan umumlah nikmatnya."

Firman Allah swt dalam surah an-Nisa' ayat 36 : " Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang musafir  yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-bangga diri."

Al-Qurtubi berkata : " Ijma' ulama bahawa ayat ini daripada muhkam yang muttafaq 'alaih." Tiada padanya sesuatu yang mansukh. Begitu juga daripada semua kitab. Kalaulah tiada demikian, nescaya dikenali atau diketahui hal tersebut daripada pihak akalan.

Wallahu'alam..
Dipetik dari Buku Himpunan Hadis Modal Insan karya Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri terbitan Telaga Biru.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...