Promo ! Klik Ler..

Saturday, June 27, 2009

Antara pasir dan batu



Kisah tentang dua orang sahabat karib yang sedang berjalan melintasi gurun pasir. Mior dan Megat namaya. Mereka tersesat. Di tengah-tengah perjalanan, mereka bertengkar kerana saling menyalahkan antara satu sama lain. Mior tidak dapat menahan diri lalu menampar temannya Megat. Megat berasa sakit hati, tetapi dengan tanpa berkata-kata, dia menulis di atas pasir:

“Hari Ini, Sahabat Terbaik Aku Mior Menampar Pipiku”

Mereka terus berjalan tanpa berkata sepatah perkataan pun, sehingga mereka menjumpai sebuah oasis, di mana mereka memutuskan untuk mandi. Namun, ternyata oasis tersebut cukup dalam sehingga Megat yang tidak tahu berenang nyaris tenggelam dan lemas, tetapi Alhamdulillah berjaya diselamatkan oleh Mior.

Di tepi oasis, ketika Megat mulai sedar dan hilang rasa takutnya, dia terus bangun dan mengukir sesuatu di sebuah batu besar yang berdekatan:

“Hari Ini, Sahabat Terbaik Aku Mior Menyelamatkan Nyawaku”

Mior berasa pelik dengan kelakuan Megat dan bertanya kepadanya ,

“Kenapa setelah aku menampar kau dan melukai hatimu, kau menulisnya di atas pasir, dan sekarang kau mengukir di atas batu pula?”.

Temannya Megat tersenyum lalu menjawab,

“Ketika seorang sahabat melukai hati kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar ‘angin kemaafaan’ akan datang menghembus dan menghapuskan tulisan tersebut. Dan apabila sahabat kita melakukan sesuatu kebajikan sekecil apa pun, kita harus memahatnya di atas ‘batu hati’ kita, agar tetap terus dikenang tidak hilang ditiup waktu.

Sahabat-sahabatku sekalian, dalam hidup ini sering timbul perbezaan pendapat dan konflik kerana sudut pandang yang berbeza. Oleh kerana itu, cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu. Marilah kita belajar menulis di atas pasir dan mengukir di atas batu!


Monday, June 22, 2009

Isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku !

Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia.

Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan ta'ziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: " semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan ta'ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..

Si suami meneruskan kata-katanya: "Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah Ta'ala, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku.
Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi (salla 'Llahu 'alayhi wa aalihi wa sallam);
"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redho kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Tatkala aku meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: "Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhoilah ia." Ku ulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku.."

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagiaan dan kegembiraan yang ku rasakan ini. Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan ta'ziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redho kepadanya. Semoga Allah Ta'ala menerima isteriku dengan keredhoan-Nya. "

Friday, June 19, 2009

Hukum sertai pertandingan memancing


Soalan:

SAYA gemar memancing dan sering menyertai pertandingan memancing. Persoalannya, adakah menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah seperti RM5,000 bagi tempat pertama juga termasuk dalam judi?


Jawapan:
Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.


Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?


Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.


Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan,yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.


Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.


Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.


Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).


Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)


Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).


Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya) .


Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.


Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian. Walaubagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak.


Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:


1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).


2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."


Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.


Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.


Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
1. Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
2. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
3. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
4. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
5. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.


(Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan (2004).


Tuesday, June 16, 2009

Hanya Ingin Mengingatkan

Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima (5) Kali ..

1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.
2. Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam.
3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.
4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar .
5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyaklah bacaan 'Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah', supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya ....

1. Dunia itu racun,zuhud itu ubatnya.
2. Harta itu racun,zakat itu ubatnya.
3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.
4. Seluruh umur itu racun,taat itu ubatnya.
5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

Ada 4 di pandang sebagai ibu, iaitu :
1. Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN .
2. Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERBICARA.
3. Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA.
4. Ibu dari segala CITA-CITA adalah SABAR.

Berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan kesabaran.
Beberapa kata renungan dari Qur'an :

Orang Yang Tidak Melakukan Solat:

Subuh : Dijauhkan cahaya muka yang bersinar
Zuhor : Tidak diberikan berkah dalam rezekinya
Asar : Dijauhkan dari kesihatan/kekuatan
Maghrib : Tidak diberi santunan oleh anak-anaknya
Isyak : Dijauhkan kedamaian dalam tidurnya

~Moga beroleh manfaat~

Sunday, June 14, 2009

Memuliakan Allah tiada batasannya

Dipetik dari Kolum tafsir Al-Quran oleh Tn. Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Fikrah Harakah 15-18 Jun 2009


Surah Al-An'aam ayat 3


Firman Allah yg brmksud, "Dan Dialah Allah (yg disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi..." (Sural Al-An'aam : 3)


Ertinya Allah shj yg sepatutnya dimuliakan dan dibesarkan di langit dan di bumi. Manusia x layak membesar dan memuliakan yg lain lebih drpd Allah SWT.


Memuliakan yg lain drpd Allah pun mstilah mengikut perintah Allah. Ini brmksud kita memuliakan sesiapa yg diperintahkan Allah utk memuliakannya.begitu juga sebaliknya, kita mghinakan seseorg mengikut apa yg diperintahkan olehNya.


Allah mnghina Abu Lahab dan kekal pnghinaan itu sampai hari kiamat sebagaimana firmanNya yg brmksud, "Binasalah kedua-dua tgn Abu Lahab dan binasalah dia brsama; hartanya dan segala yg diusahakannya, x dpt menolongnya.Dia akn mnderita bakaran api neraka yg marak mnjulang. Dan juga isterinya. seorg pemunggah kayu api.Di lehernya sejenis tali, dari tali2 yg dipintal." (Surah al-Masad : 1-5)


Ertinya laknat dan pnghinaan sebegitu rupa trhdp Abu Lahab bkn krn namanya Abu Lahab ttpi krn prbuatannya mghalang nabi saw drpd mnympaikan risalah Islam kpd kaum kerabat dan bgsanya,Arab Quraisy dan kpd manusia seluruhnya.


Justeru jika ada manusia serupa dgn Abu Lahab maka layaklah mereka menerima pnghinaan sprtinya.dan Allah SWT shj yg layak disembah di langit dan di bumi.Tidak ada yg sembahan melainkan kpd Allah SWT shj.


Ini krn tugas mnjadi hmba yg taat mngabdikan diri sekaligus mnymbah Allah shj merupakan satu sifat fitrah kejadian manusia dan makhluk yg lain trmasuk jin.Allah berfirman yg brmksud, "Aku x jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu." (Surah Az-zaariyaat :56)


Ayat ini juga brmksud Dialah Tuhan Yg Maha Berkuasa memerintah langit dan bumi. Dialah Tuhan yg mntdbir bumi dgn kekuasaanNya Yg Maha Hebat dgn diriNya sndiri tnpa perlu kpd pertolongan sesiapapun.


Jika ada malaikat membantu, mrk hanyalah sbg makhluk yg ditugaskan mengabdikan diri dan melaksanakan perintah Allah dgn penuh ketaatan, x lebih drpd itu. Para malaikat menjadi jentera pentadbiran Allah dan seringkali menjadi tentera Allah di medan peperangan menentang musuh2Nya pd sepnjg zmn.


Ia juga menunjukkan betapa hebat makhlukNya. Hakikatnya Allah x memerlukan pertolongan sesiapapun untuk mentadbir alam ini. Dia mentadbir dengan esaNya, tnpa bntuan dgn sesiapapun.


Allah x berhajat kpd sesiapapun ttpi semua makhluk berhajat kpdNya dlm segala hal. Mrk perlu kpd prtolongan Allah sdgkan Allah x memerlukan prtlgn mrk.


Di sinilah letaknya kehebatan kekuasaan Allah melangkaui semua makhluk dan ciptaanNya di langit dan di bumi. Allah berfirman yg bermksud, "Dia mengetahui apa yg kamu rhsiakan dan apa yg kamu zahirkan." (SUrah al-Anam :3 )


Ayat ini brmksud, Dialah Tuhan yg Maha Mengetahui segala apa yg disembunyikan dan segala apa yg dizahirkan oleh makhlukNya.


Tidak ada apa pun yg dpt disembunyikan drpd Allah walaupun sedikit, semua diketahui olehNya. sehingga seekor semut hitam berada di atas batu yg hitam pada malam yg gelap gelita atau sesuatu yg lbh kecil drpd itu, semuanya diketahui olehNya.


Allah berfirman yg brmksud, "Dan Dia juga Mengetahui apa yg kamu usahakan." (Surah al-An'aam : 3)


Apa yg kamu lakukan semasa hayat kamu di dunia ini semua dalam ilmu Allah SWT. Oleh itu, beringat-ingatlah ketika melakukan sesuatu perkara di dunia ini.


Sesuatu yang hendak dibuat mestilah terlebih dahulu diambil kira sama ada ia bertepatan dengan perintah Allah atau x.


Berfikir dahulu sblm bertindak dan pastikanlah ia menurut perintah Allah SWT. Ini krn semua amalan manusia termasuk soal cari nafkah, mengundi dalam plhnraya dan seumpamanya dikira oleh Allah dan diketahuiNya.


Jangan kita gunakan tangan dan anggota badan kita untuk tujuan selain menurut perintah Allah kelak buruk padanhya pada hari kiamat. setiap yang baik dan mengikut perintahNya akan dibalas baik yakni syurganya dan setiap yang buruk atau jahat akan dibalas buruk yakni nerakanya pada hari akhirat kelak.


~ wassalam ~


Saturday, June 13, 2009

Doa pelindung daripada SELESAMA BABI - INFLUENZA H1N1

Doa Pilihan Pelindung Keluarga

Ajarilah anak-anak kita, diri dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari nabi ini iaitu :-

من نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قال أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك

Ertinya :
sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka dia tidak dimudaratkan oleh sesuau apa pun sehinggalah dia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080)

Disebut dalam satu riwayat lain, nabi bersabda :-

فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله

Ertinya :
nabi bertanya : kena apakah kamu ?
Lelaki berkata : aku disengat kala
Nabi berkata : sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat"
( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )

Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa :
"Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya"
( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan -

Mudah-mudahan ALlah menyelamatkan kita serta keluarga daripada azab bala bencana seperti selesama Babi dan lain-lain.

Wasalam..

Wednesday, June 10, 2009

Magnet cinta Allah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

ISLAM adalah agama yang hakiki dan realiti, bukannya agama khayalan atau melawan arus fitrah insan. Oleh yang demikian, Islam tidak menafikan terdapat di sana perkara-perkara yang dikasihi, disukai dan dicintai oleh manusia kerana ia sememangnya merupakan kecenderungan dan fitrah setiap insan.
Maka seorang manusia itu akan mengasihi keluarga, harta dan tempat kediamannya. Namun, tidak sepatutnya terdapat sesuatu di dunia dan akhirat lebih dikasihi daripada kecintaan terhadap Allah dan Rasul. Jika berlaku sedemikian, maka dia adalah orang yang kurang imannya dan wajib dia berusaha untuk menyempurnakan keimanannya. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Orang-orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah. (al- Baqarah: 165)

Dunia hari ini menyaksikan umat Islam tidak lagi menjulang cinta kepada Allah sebagai cinta yang utama, tidak lagi mahu bermujahadah mengejar cinta Khaliqnya. Sebaliknya, sentiasa bersemangat dan memperjuangkan cinta kepada dunia dan hamba-hamba dunia.

Saban waktu sang kekasih berusaha mengenali hati kekasihnya tetapi tidak pernah sesaat sang hamba berusaha mengenali Khaliq dan kekasihnya yang sepatutnya menjadi cinta awal dan akhirnya.

Menyebut cinta kepada Allah atau menyebut nama Allah terasa tawar dan hambar, tetapi menyebut cinta kepada manusia terasa sungguh bahagia dan menyeronokkan. Kenapa tragedi ini boleh berlaku, sedangkan Allah itu bersifat Maha Sempurna, manakala manusia bersifat dengan segala kekurangan.

Mencintai Allah tidak akan pernah ada erti kecewa atau dikhianati. Allah memiliki kemuncak segala kecantikan, keagungan dan kebaikan. Cinta kepada-Nya pasti dibalas dengan pelbagai curahan nikmat dan rahsia yang seni.

Pendek kata, akal yang singkat turut mengatakan, Allah paling layak dicintai kerana Dia memiliki segala ciri-ciri yang diingini oleh seorang kekasih.

Perkara paling pantas untuk menarik seseorang mencintai Allah ialah dengan merenung kemuliaan dan kemurahan Allah yang sentiasa mencurahkan segala nikmat-Nya pada setiap masa dan ketika, pada setiap hembusan nafas dan degupan jantung.

Allah berfirman sebagai mengingatkan hamba-hambaNya dengan nikmat-nikmat ini: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nahl: 18).

Hanya dengan merenung sejenak, kita akan mendapati bahawa Allah adalah paling layak bagi setiap cinta dan pujian. Dia lebih utama untuk bertakhta di jiwa setiap insan daripada kecintaan kepada kedua ibu bapa, anak-anak dan diri sendiri yang berada di antara dua rongga.

Saban hari, kita memerlukan Allah untuk hidup dan menikmati segala kejadian-Nya; cahaya yang terang, nikmat siang dan malam dan sebagainya. Namun, kenapa masih tidak terkesan di hati kita menyaksikan limpahan nikmat dan ihsan-Nya, kekuasaan-Nya yang menghairankan orang-orang yang melihatnya, keagungan-Nya yang tidak mampu diungkapkan oleh orang-orang yang cuba mengungkapkannya, dan segala sifat keindahan dan kesempurnaan- Nya?

Punca bagi segala permasalahan ini ialah butanya mata hati, ceteknya tauhid dan pengetahuan manusia tentang Allah. Tidak mungkin seseorang itu mengasihi sesuatu jika dia tidak mengenalinya. Cinta hanya akan datang setelah didahului dengan pengenalan.

Pada hari ini, manusia lebih mengenali dunia daripada Pencipta dunia. Oleh kerana itu, hati mereka gersang dari cinta ilahi, cinta yang hakiki. Kejadian Tuhan terlalu dicintai tetapi Pemiliknya yang mutlak dilupai sehingga segala suruhan dan larangan-Nya tidak dipeduli.

Agama Tuhan hendak ditegakkan tetapi Tuhan Pemilik agama itu tidak dipasak di dalam hati. Tauhid tidak dihayati, maka bagaimana tuhan hendak dikenali, apatah lagi dicintai.

Kecintaan kepada Allah adalah suatu kedudukan yang istimewa. Allah mengangkat kedudukan hamba yang mencintai-Nya kepada setinggi-tinggi darjat. Bagi manusia yang mengutamakan kecintaan kepada selain Allah, Allah meletakkannya di kedudukan yang hina; menjadi hamba kepada dunia sepanjang hayatnya.

Tanda cinta kepada Allah

Ramai manusia yang mengaku mencintai Allah tetapi kebanyakan kata-kata mereka tidak melepasi kerongkong-kerongkong mereka. Cinta itu ada tandanya untuk dikenal pasti yang manakah cinta palsu dan yang manakah cinta yang hakiki.

Ketahuilah cinta itu seperti magnet yang akan menarik kekasih kepada kekasihnya. Orang yang mencintai seseorang akan suka bertemu dengan kekasihnya. Orang yang kasihkan Allah tidak merasa berat untuk bermusafir dari tanah airnya untuk tinggal bersama Kekasihnya menikmati nikmat pertemuan denganNya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya." Sebahagian salaf berkata: "Tidak ada suatu perkara yang lebih disukai Allah pada seseorang hamba selepas hamba tersebut suka untuk bertemu dengan-Nya daripada banyak sujud kepada-Nya, maka dia mendahulukan kesukaannya bertemu Allah dengan memperbanyakkan sujud kepada-Nya."

Sufyan al Thauri dan Bisyr al Hafi berkata: "Tidak membenci kematian melainkan orang yang ragu dengan tuhannya kerana kekasih itu pada setiap masa dan keadaan tidak membenci untuk bertemu dengan kekasihnya.

Allah SWT berfirman: Maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar. (al-Baqarah: 94)

Seseorang itu tidak suka kepada kematian kadang kala disebabkan kecintaannya kepada dunia, sedih untuk berpisah dari keluarga, harta dan anak-anaknya. Ini menafikan kesempurnaan kasihnya kepada Allah kerana kecintaan yang sempurna akan menenggelamkan seluruh hatinya.

Namun, ada kalanya seseorang itu tidak suka kepada kematian ketika berada pada permulaan makam Mahabbatullah. Dia bukan membenci kematian tetapi tidak mahu saat itu dipercepatkan sebelum dia benar-benar bersedia untuk bertemu dengan Kekasihnya. Maka dia akan berusaha keras bagi menyiapkan segala kelengkapan dan bekalan sebelum menjelangnya saat tersebut. Keadaan ini tidak menunjukkan kekurangan kecintaannya.

Orang yang mencintai Allah sentiasa mengutamakan apa yang disukai Allah daripada kesukaannya zahir dan batin. Maka dia akan sentiasa merindui amal yang akan mendekatkannya kepada Kekasihnya dan menjauhkan diri daripada mengikut nafsunya.

Orang yang mengikut nafsunya adalah orang yang menjadikan nafsu sebagai tawanan dan kekasihnya, sedangkan orang yang mencintai Allah meninggalkan kehendak diri dan nafsunya kerana kehendak Kekasihnya.

Bahkan, apabila kecintaan kepada Allah telah dominan dalam diri seseorang, dia tidak akan lagi merasa seronok dengan selain Kekasihnya.. Sebagaimana diceritakan, bahawa setelah Zulaikha beriman dan menikahi Nabi Yusuf a.s, maka dia sering bersendirian dan bersunyi-sunyian beribadat serta tidak begitu tertarik dengan Yusuf a.s sebagaimana sebelumnya.

Apabila Yusuf AS bertanya, maka dia berkata: "Wahai Yusuf! Aku mencintai kamu sebelum aku mengenali-Nya. Tetapi setelah aku mengenali-Nya, tidak ada lagi kecintaan kepada selainNya, dan aku tidak mahu sebarang gantian". (Ihya' Ulumiddin, Imam al Ghazali Jilid 5 H: 225)

Kecintaan kepada Allah merupakan sebab Allah mencintainya. Apabila Allah telah mengasihinya, maka Allah akan melindunginya dan membantunya menghadapi musuh-musuhnya. Musuh manusia itu ialah nafsunya sendiri.

Maka Allah tidak akan mengecewakannya dan menyerahkannya kepada nafsu dan syahwatnya. Oleh yang demikian Allah berfirman: Dan Allah lebih mengetahui berkenaan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka). (al-Nisa': 45)

Orang yang mencintai Allah, lidahnya tidak pernah terlepas dari menyebut nama Kekasih-Nya dan Allah tidak pernah hilang dari hatinya. Tanda cinta kepada Allah, dia suka menyebut-Nya, suka membaca al Quran yang merupakan kalam-Nya, suka kepada Rasulullah SAW dan suka kepada apa yang dinisbahkan kepada-Nya.

Orang yang mencintai Allah kegembiraan dan keseronokannya bermunajat kepada Allah dan membaca Kitab-Nya. Dia melazimi solat tahajjud dan bersungguh-sungguh beribadah pada waktu malam yang sunyi dan tenang. Sesiapa yang merasakan tidur dan berbual-bual lebih lazat daripada bermunajat dengan Allah, bagaimanakah hendak dikatakan kecintaannya itu benar? Orang yang mencintai Allah tidak merasa tenang melainkan dengan Kekasihnya. Firman Allah: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al Ra'd: 28)

Orang yang mencintai Allah tidak merasa sedih jika kehilangan sesuatu dari dunia ini tetapi amat sedih jika hatinya tidak lagi memiliki cinta kepada Allah. Besar kesalahan baginya jika ada saat-saat yang berlalu tidak diisi dengan zikrullah dan ketaatan kepadaNya, apatah lagi jika melakukan larangan Allah.

Orang yang mencintai Allah juga, merasa nikmat dan tidak berasa berat melakukan ketaatan. Dia tidak merasa ketaatan yang dilakukan semata-mata kerana tunduk dengan perintah-Nya tetapi dilakukan kerana kecintaan terhadap Kekasihnya. Imam al Junaid r.a berkata: "Tanda orang yang cintakan Allah, sentiasa bersemangat dan cergas melakukan amal ibadah dan hatinya tidak pernah lalai dan letih daripada mengingatiNya. "

Dia tidak pernah merasa sakit menghadapi cercaan orang-orang yang mencercanya kerana melaksanakan perintah Allah. Semua yang datang dari Kekasihnya sama ada suka atau duka diterima dengan hati yang gembira dan reda.

Orang yang telah mengenal dan mengecapi cinta Allah tidak akan tertarik dengan cinta yang lain. Itulah magnet cinta Allah. Alangkah ruginya orang yang hatinya tidak ingin mengenal cinta Allah, cinta yang hakiki dan sejati.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...